SETIU, 13 Januari- Semua kelompok masyarakat, termasuk graduan dan mereka yang berkerjaya boleh mengambil peluang bergelar usahawan tani dengan mengerjakan tanah terbiar menggunakan kaedah fertigasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahimberkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan sama ada dari segi insentif kewangan dan pemasaran produk.
Katanya, mereka yang mahu menyertai perniagaan berasaskan pertanian tidak perlu terlalu bergantung kaedah konvensional, sebaliknya bertukar kepada teknologi terkini yang mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan.
“Sebagai contoh, projek pertanian bandar yang diusahakan komuniti Bandar Permaisuri menerusi kaedah fertigasi diatas tanah seluas 2.5 hektar ini telah mula menampakkan kejayaan.
“Walaupun dengan keluasan yang tidak begitu besar, dalam tempoh tiga bulan projek ini dijalankan dengan tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran tempatan secara puratanya komuniti yang mengusahakan boleh menghasilkan 20 tan metrik dengan nilai pengeluaran RM30,000,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Bandar Permaisuri di Setiu, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa'), To’ Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Katanya, projek pertanian bandar adalah salah satu program yang menunjukkan teknologi pertanian pada masa kini dan akan datang yang mana teknik penanamannya lebih kepada penggunaan air baja secara fertigasi dan hidroponik.
“Melalui kaedah penanaman ini, keluasan tanah yang minima boleh dimanfaatkan untuk aktiviti pertanian dan medium yang digunakan juga boleh didapati dengan kos yang agak murah.
“Setakat ini medium yang banyak digunakan di Terengganu ialah sekam padi, sabut kepala dan juga sisa buangan dari kilang kelapa sawit,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri sememangnya menggalakkan semua kelompok masyarakat terlibat dengan aktiviti pertanian yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja.
“Pertanian bukan setakat satu perniagaan yang menghasilkan sumber pendapatan tetapi pada masa yang sama satu usaha murni untuk kita menghasilkan satu sumber bekalan yang bukan setakat halal, berkat tetapi dalam masa yang sama bersih dan terjamin selamat,” ujarnya.