• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Video Tiktok MB Terengganu Dipadam Tanpa Sebab

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kebebasan bersuara di bawah kerajaan hari ini terus menjadi tanda tanya apabila hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu dipadam tanpa sebarang notis dan alasan.

Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, beliau terkejut selepas melihat senarai video yang dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).

“Antara video yang dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, 'Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan).

Antara video yang dipadam.

"Selain itu, video majlis Perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park (900 ribu tontonan) dan meraikan kunjungan hormat Duta Qatar (300 ribu tontonan) turut dipadam.

“Banyak lagi video lain yang dipadam terus, rata-rata tontonan sudah mencecah 500 ribu hingga 1 juta, ini kejadian sangat pelik dan saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku.

“Tambah lagi semua video terbabit tiada unsur provokatif atau menyakitkan hati mana-mana pihak, ia hanya dengan fakta, harapan dan perkembangan negeri serta kerajaan negeri,” katanya kepada media hari ini.

Program bersama Duta Qatar.

Menurut Mohd Harun, beliau difahamkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar (SAMB) Terengganu telah memohon penjelasan rasmi daripada pihak TikTok, namun masih belum menerima sebarang jawapan.

“Kita harap isu ini ada penjelasan segera daripada pihak berwajb, jangan baling batu sembunyi tangan,” tegasnya.

Jelas beliau lagi, pihak SAMB turut memaklumkan bahawa penggunaan X (twitter) Ahmad Samsuri juga mengalami kesukaran akses.

“Video yang dimuat naik hilang secara tiba-tiba dan tidak dapat dilihat oleh orang ramai, ini juga menghairankan saya,” ujarnya.

Video perkongsian Aunty Amy Chua.

Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa mendukung dan mempertahankan hak serta kebebasan media dalam memberi teguran dan kritikan, malah semangat itu kekal sejak prakemerdekaan negara.

"Pendirian saya dan rakan-rakan dalam jemaah menteri, tiada tindakan diambil atau kawalan terhadap ruang kebebasan wartawan dan media memberi pandangan, teguran dan kritikan.

"Saya beri jaminan semangat (kebebasan media) itu kekal, walaupun timbulkan sedikit keresahan kerana ketegasan kita (kerajaan) tangani isu terkait dengan keselamatan, fahaman cauvinisme (patriotisme melampau) dan perkauman, atau aliran pelampau agama,” katanya.


Tag: