YPU, Platform E-Dagang Termuka Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Muda
KUALA NERUS, 27 Disember- Seramai 2,800 individu pelbagai agensi termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu sudah bersiap sedia dengan kekuatan aset bagi menghadapi banjir gelombang ketiga yang diramalkan berlaku pada 30 dan 31 Disember ini.
Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, aset darat dan air membabitkan lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulan serta bot kini bersedia digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan-kawasan yang dijangka terjejas, terutama di Dungun khususnya sekitar Kampung Pasir Raja.
Katanya, lebih 1,000 penduduk membabitkan enam kampung di daerah itu iaitu Kampung (Kg) Pasir Raja, Kg Shukor, Kg Jongok Batu, Kg Nila, Kg Jerangau dan Kg Kuala Jengal diminta bersiap sedia lebih awal, ia susulan jangkaan dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) akan kembali banjir.
“Antara persediaan dan langkah awal yang perlu diambil penduduk termasuk menyimpan barangan ke tempat selamat dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila air melimpah.
“Saya mohon kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dengan kemungkinan banjir dan sekiranya air naik, keluar dari rumah dan berpindah ke PPS dengan segera.
“Pihak kami bersama semua agensi kerajaan sudah bersiap sedia untuk mengawal selia jika berlaku keadaan luar biasa di Sungai Dungun yang dijangka melepasi paras bahaya pada tarikh berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika Kempen Derma Darah di Hotel Rai, di sini, hari ini.
Mohd Rosman berkata, pihaknya menyasarkan lebih 250 pek dapat dikumpul sepertimana kutipan yang berjaya dikumpul dalam program dalam sebelum ini.
“Apa yang dilaksanakan itu adalah sebagai tanda sokongan dan kerjasama kepada kempen murni mengumpul darah oleh Unit Tabung Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),”katanya.
.