50 Asnaf Batu Rakit Tersenyum Lebar
KUALA NERUS, 22 Januari - Seramai 50 orang asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang kurang berkemampuan tersenyum lebar selepas menerima sumbangan daripada PAPISMA.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi berkata, penerima dalam kalangan asnaf adalah di Mukim Bukit Cempaka yang menerima sumbangan dapur seperti beras, gula, telur dan gandung.
"Kita harapkan dengan penyampaian agihan sumbangan ini akan memberi sinar kebahagiaan kepada golongan kurang berkemampuan khususnya asnaf fakir dan miskin di Batu Rakit.
"Saya berharap agar agihan sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat menyinari hidup anda semua bagi menyambut awal tahun dan yang bakal tiba bulan Ramadan nanti," katanya pada Majlis Perasmian Sumbangan Dana Kemanusian PAPISMA (DEKAP) Negeri Terengganu di Dewan Sebaguna Wakaf Catur Maras di sini baru-baru ini.
Sementara itu katanya, beliau sentiasa mengingatkan setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar mengambil cakna keperluan penduduk.
"Saya selalu ingatkan kepada semua JPKK supaya memantau serta melihat sekitar kampung agar tiada lagi mereka yang hidup dalam keadaan susah, melarat serta keadaan yang sempit disebabkan masalah tanggungan keluarga.
"Terima kasih kepada Pengerusi JPKK yang sentiasa menghubungi saya sekiranya ada masalah yang dihadapi orang kampung dan kita akan berbincang mencari jalan penyelesaian," ujarnya.