• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

500 Keluarga Terima Barangan Keperluan Asas, Wang Tunai

Oleh : Aqilah Mohd Jafri

MARANG – Seramai 500 keluarga terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena program Sinar Ramadan.
Antara barangan yang diserahkan kepada penerima adalah beras, minyak masak, gula, biskut dan kicap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata program itu diadakan setiap tahun hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payong serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Bukit Payong.

Katanya, tujuan inisiatif itu adalah bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan.

“Dengan keadaan ekonomi yang tidak terkawal, harga barang keperluan makanan makin meningkat, jadi kita memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka.

"Bantuan yang diterima boleh diguna dan dibelanja sepanjang Ramadan dan juga menjelang perayaan akan datang," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program terbabit semalam.

Menurut Mohd Nor, program Sinar Ramadan dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 2,000 ahli keluarga.

"Saya berharap agar sumbangan yang diagihkan dapat meringankan beban penerima dan memberi keceriaan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba," tambah beliau.


Tag: