KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 90 daripada 94 program yang disenaraikan dalam Tahun Pertanian Terengganu 2021 dengan peruntukan sebanyak RM2,951,380.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program utama tersebut melibatkan sebahagian besar sektor pertanian, perikanan dan penternakan dengan peratusan pelaksanaan 96 peratus.
“Sebelum tirai Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021 ditutup dengan penganjuran karnival Pertanian Negeri Terengganu pada 26 hingga29 Januari ini, kita yakin mampu melaksanakan lebih 99.9 peratus dari program yang tersenarai dalam kalendar dengan manfaat langsung kepada rakyat.
“Dari jumlah 45 projek pembangunan dalam kalendar TPT 2021, kerajaan negeri telah berjaya melaksanakan kesemua 45 projek melibatkan peruntukan RM12,436,335,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Amanat Tahun 2022 Sektor Pertanian bersama warga Mafi Inc Terengganu di Duyong Convention Centre, Duyong Marina Resort, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Mafi Inc. Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.
Menurut beliau, majlis tersebut sebagai penghargaan kepada barisan hadapan warga kerja MAFI Inc. Terengganu yang terus tekun bekerja menyantuni petani, peladang, penternak dan nelayan terutamanya dalam situasi sukar pandemik COVID-19.
Dalam perkembangan sama katanya, program-program dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPNT) 2019-2023 disasarkan menjadi suatu solusi meringankan beban rakyat dengan objektif besar meningkatkan ‘food security’ negeri.
“Usaha kita mula menampakkan hasil dengan peningkatan tahap sara diri (SSL) makanan ruji padi dimana tahun 2018 (43 peratus), 2019 (48 peratus) dan 2020 (53 peratus) dan SSL 2021 mencapai 55.8 peratus.
“Kita perlu berada bersama rakyat untuk merasai impak dan denyut nadi rakyat. Apatah lagi penilaian kesan dari projek serta program adalah subjektif dan relatif. Perlaksanaan program dan projek yang terkandung dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 sentiasa melalui proses penilaian semula sebagai analisa berkala terhadap kejayaan dan keberkesanannya,” katanya.