KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Dalam usaha menangani krisi kekurangan bekalan kelapa, anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Bhd (GPB) telah mengambil langkah proaktif dengan mengimport bahan mentah itu dari Indonesia untuk pasaran tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Mohd Roslan Mamat berkata, bekalan kelapa tua kira-kira 30,000 biji atau 30 tan diterima daripada pembekal utama itu, Selasa lalu.
Katanya, bekalan itu akan diedarkan kepada beberapa pemborong utama untuk dipasarkan ke seluruh negeri ini serta Pasir Puteh di Kelantan.
"Setakat ini seorang pemborong kelapa di Jertih, Besut sudah bersetuju mendapatkan kelapa yang dijenamakan Sayosega untuk diedarkan kepada peniaga di Besut dan Setiu di Terengganu dan Pasir Puteh di Kelantan.
"Pemborong kelapa di Kuala Terengganu dan Dungun juga sudah menghubungi kami bagi mendapatkan kelapa untuk dipasarkan kepada peniaga di Kuala Nerus dan Marang," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim melalui Facebooknya memaklumkan GPB dilantik untuk menangani krisis bekalan kelapa sejak bulan lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, pembekal utama yang juga memiliki permit import (AP) bahan pertanian turut bersetuju membekalkan kelapa bagi mengurangkan krisis bekalan sepanjang Ramadan akan datang.
"Pada fasa pertama, kita mengimport 30 tan mengandungi kira-kira 30,000 biji kelapa bagi mengurangkan krisis bekalan untuk kegunaan domestik.
"Langkah diambil GPB adalah untuk memastikan bekalan kelapa mencukupi bagi kegunaan masyarakat menjelang musim perayaan, terutama pada sambutan Aidilfitri nanti," katanya.
Mengulas harga kelapa, Mohd Roslan berkata, harga ditawarkan kepada pemborong antara RM2.90 dan RM3.20 sebiji bergantung jumlah kuantiti.
"Langkah GPB mengimport kelapa bukan bertujuan mencari keuntungan, sebaliknya lebih kepada penyelesaian krisis bekalan.
"Kita akan menghentikan mengimport bekalan kelapa apabila krisis berakhir," katanya.