Exco Terengganu Lapor Polis Fitnah Burukkan Imej Kerajaan dan Rakyat

KEMAMAN, 21 Januari - Exco Pelancongan Terengganu, Datuk Razali Idris membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, pagi ini bagi menafikan tuduhan yang tular di media sosial mengaitkan beliau sebagai salah seorang individu yang memukul orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Kemaman, baru-baru ini.

Beliau yang menyifatkan itu adalah fitnah terhadap dirinya, mengambil tindakan tersebut bagi memastikan tidak ada lagi orang lain menjadi mangsa fitnah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Saya melihat apabila gambar saya disebarkan berkali-kali, ia merosakkan imej saya sebagai seorang exco di negeri ini dan paling penting ia merosakkan imej kerajaan Terengganu.

"Ada juga komen (terhadap gambar yang disiarkan) yang menyebut negeri Terengganu kini tidak lagi selamat untuk dikunjungi dan ini berkait (secara langsung) dengan pelancongan, jadi saya mengambil kesempatan untuk membuat laporan hari ini," katanya ketika ditemui di luar Balai Polis IPD Kemaman, hari ini.

Tambahnya, laporan itu secara khususnya di tujukan kepada laman Facebook yang dinamakan 'Raja Mohd Shahrim I', diikuti laman Aman Muhammad dan Pak Ya Siam.

"Ada banyak lagi, tetapi saya sempat memetik tiga 'page' ini yang didahulukan page Raja Mohd Shahrim I.

"Semakin lama saya lihat, semakin bahaya kerana mereka tertumpu kepada kritikan dan menumpukan supaya jangan hadir ke Terengganu.

"Pada tahun 2024 kehadiran pelancongan ke Terengganu melebihi 7 juta, jadi jika disebabkan kes ini saya bimbang kalau tidak buat laporan polis ia akan menurun pada tahun 2025,"ujarnya lagi.

Justeru itu, beliau berkata, setiap orang boleh berpolitik tetapi jangan sampai  memfitnah.

"Saya yakin negeri Terengganu masih lagi negeri cantik, budaya menarik dan orangnya juga baik-baik," katanya.

 

 


Tag: