LAUT Beri Diskaun 50 Peratus Kepada Pemegang Lesen Rumah Bot
SETIU, 24 Mac – Syawal tahun ini pastinya lebih istimewa buat 69 peserta Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA) apabila impian mereka untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
Setelah lebih sedekad menetap di kawasan ini, mereka kini secara rasmi menerima geran hak milik rumah dan tanah yang sekian lama dinantikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata penyerahan hak milik ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap pengorbanan serta kesabaran para peserta selama ini.
"Sejak mereka menetap di sini pada tahun 2013, kali ini Aidilfitri pastinya lebih bermakna kerana rumah ini kini benar-benar menjadi milik sendiri," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik kepada Peserta Projek BSA Daerah Setiu di Taman Agropolitan Panchur Berderu, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat.
Menurut Azman, daripada 84 peserta yang terlibat dalam projek ini, seramai 69 orang telah menerima dokumen hak milik mereka.
"Bakinya masih menunggu proses teknikal selesai sebelum geran dapat diserahkan.
"Ada yang belum menyelesaikan bayaran premium dan ada juga beberapa dokumen yang masih perlu dilengkapkan mengikut peraturan tanah di Terengganu," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek seumpama ini bukanlah yang pertama kali dilakukan di negeri ini.
"Sebelum ini, kerajaan negeri juga telah memberi hak milik kepada peserta Projek Rimbunan Kasih di Rantau Abang, Dungun.
"Projek seperti ini juga melibatkan pembinaan rumah dan penyertaan peserta, cuma bezanya adalah dari segi aktiviti ekonomi.
"Di sini (BSA), peserta menjalankan projek penternakan kambing, manakala Projek Rimbunan Kasih pula melibatkan penanaman melon manis Terengganu dan penternakan ikan.
"Walau apa pun bentuk kegiatan ekonomi yang dijalankan, apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri, perkara pertama yang difikirkan adalah untuk memberi hak milik kepada peserta," katanya.
Menurutnya lagi, apabila Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menyerahkan Projek BSA kepada kerajaan negeri pada tahun 2022, beliau telah menyatakan bahawa tugas utama yang perlu dilakukan adalah memberikan hak milik kepada penghuni-penghuni projek tersebut.
"Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai proses yang tidak mudah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Pejabat Daerah Setiu, Pejabat Tanah Setiu, ADUN Langkap serta semua pihak yang telah bekerjasama bagi merealisasikan hari yang bersejarah ini.
"Akhirnya, peserta dapat memegang geran hak milik mereka, menyambut Syawal dengan lebih tenang, dan menikmati suasana Hari Raya di rumah sendiri buat kali pertama," ujarnya.