"Akhlak Anak Muda Dalam Dunia Tanpa Sempadan Membimbangkan"-Satiful

DUNGUN, 20 Mac  – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, menyuarakan kebimbangan terhadap akhlak generasi muda dalam dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar.

Beliau menegaskan bahawa dunia yang semakin bebas dan tanpa kawalan boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak muda.

“Apabila disebut tentang akhlak, kita sangat bimbang dengan dunia sekarang. Dengan dunia tanpa sempadan sekarang, anak-anak muda makin mudah untuk terjebak dengan perkara yang negatif dan rasakan dunia ini bebas untuk buat apa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Ramadan di Masjid Lama Tebing Tembah, Paka baru-baru ini.

Di samping itu, beliau turut menegur budaya penggunaan media sosial yang berlebihan dalam kalangan remaja pada masa kini.

“Hari-hari masa diluangkan untuk scroll Facebook, YouTube, TikTok lah. Kadang-kadang kandungan yang disiar tu bukanlah memberi faedah sangat.

“Bahkan ada yang terjebak dengan trend-trend, content-content dan prank yang boleh menjerumus khusus anak muda untuk ikut,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena bulan Ramadan, beliau menyeru masyarakat Islam untuk saling menegur dan mengingatkan antara satu sama lain agar tidak terleka dengan hiburan yang melalaikan.

“Sama-samalah kita saling menegur sesama kita lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam.

“Ibu ayah, selalulah pantau anak-anak kita. Walaupun dia duk kurung dalam bilik sehari-hari, jangan biarkan mereka habiskan masa dengan telefon bimbit,” pesannya.


Tag: