Aktiviti Bersih Pantai Didik Pelajar Hargai Alam Sekitar

KUALA TERENGGANU, 17 Jun- Aktiviti  bersih pantai dapat memupuk dan mendidik pelajar menghargai alam sekitar yang bersih sekali gus mengekalkannya untuk dinikmati generasi akan datang.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Menengah Sains Terengganu (SESTER), Norlina Isa berkata program seumpama itu dapat mendidik jiwa anak-anak murid untuk menabur khidmat bakti kepada alam sekitar.

"Seiring dengan matlamat SESTER untuk melahirkan murid yang berkemahiran dan berkebolehan dalam mendepani cabaran global.

"Di samping mendidik murid untuk berjaya dlm bidang akademik, murid juga perlu diterapkan dengan pelbagai nilai murni, serta sentiasa sedar dan cakna terhadap alam sekitar," ujarnya yang mengetuai rombongan termasuk 41 orang pelajar sekolah berasrama penuh itu.

Beliau berkata demikian selepas Gotong Royong Pembersihan Pantai "plogging" di Pantai Batu Buruk anjuran bersama Geng Plastik Ija dan SESTER semalam.

Sementara itu Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Dr Mohd Ariff Hafizi Fouzi berkata matlamat utama program hari ini adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai Batu Buruk. 

"Serta menghapuskan semua kawasan pengumpulan dan pembakaran sampah haram di sekitar pesisir pantai batu buruk.

"Seiring dengan saranan Datuk bandar MBKT yang telah melancarkan program 'clean up comittee' di kawasan jajahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada bulan Mei lepas, " ujarnya. 

Program pembersihan pantai di Batu Buruk ini telah berjaya mengutip 387 kg sampah termasuk 58 kg botol plastik.


Tag: