Terengganu Bakal Wujudkan Jabatan Pembangunan Lelaki

KUALA TERENGGANU, 20 November- Kerajaan Terengganu menerusi portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri bercadang mewujudkan Jabatan Pembangunan Lelaki dalam usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dan sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kerapuhan institusi kekeluargaan hari ini sehingga menyumbang kepada masalah sosial menuntut supaya pendekatan lelaki Qawwam (bertanggungjawab) terus diperkasa.

Katanya, selama ini fokus ramai tertumpu kepada golongan wanita kerana mereka adalah mangsa yang sering teraniaya dan terpaksa menanggung beban penderitaan akibat perbuatan lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab.

"Sedangkan isu utama iaitu pemangsa (lelaki) ini tidak diberi perhatian yang sepatutnya.

"Ramai ibu-ibu terpaksa tinggal bersendirian menanggung keluarga dan menjaga anak kerana suami dipenjarakan atau berada di pusat pemulihan dadah.

"Kewujudan jabatan khas ini nanti akan membolehkan lebih banyak program tertentu dirancang kepada lelaki yang tidak bertanggungjawab ini untuk kita bantu mereka menyelesaikan isu-isu kekeluargaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut beliau, perkara berkenaan masih di peringkat awal dan banyak proses yang akan terlibat termasuk di peringkat perundangan dan dasar.

"Namun ini lah perkara yang perlu diselesaikan dahulu kerana lelaki tidak bertanggungjawab ini akan mewujudkan rantaian masalah kepada isteri, anak dan masyarakat," ujarnya.