Amanah Raya Tidak Bekukan Harta Si Mati

 

KUALA TERENGGANU, 24 September- Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) tidak mempunyai hak tertentu untuk membekukan harta si mati sselepas seseorang meninggal dunia sebaliknya ia dikategorikan  Wang Menunggu Dituntut (WMD).

Pengurus Wilayah Timur Amanah Raya, Tuan Noraizan Tuan Long, berkata apabila seseorang itu meninggal dunia, hartanya masih di atas nama simati sehingga pentadbiran pusaka dibuat oleh waris-waris simati.

“Harta simati tidak akan terus ke Amanah Raya seperti mana tanggapan masyarakat yang kita dengar selama ini.

“Sebagai contoh, simati meninggalkan harta seperti tanah, kereta, duit simpanan di bank, saham dan harta-harta lain ketika kematiannya. Semua aset tersebut akan menjadi harta beku di tempat atau  agensi di mana harta itu berada atau disimpan.

“Hak milik harta tersebut masih diatas nama simati sehingga waris-waris telah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir untuk proses pentadbiran pusaka.

“Selama mana proses Pentadbiran Pusaka tidak diurus atau dilengah-lengahkan oleh waris-waris, selama itu juga harta tersebut akan terus beku di tempat dan agensi yang saya nyatakan sebentar tadi,”katanya.

Menurut Noraizan, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, setiap individu perlu tahu serba sedikit tentang ilmu pengurusan harta pusaka dan lebih baik lagi dengan membuat Perancangan Pewarisan diperingkat awal contohnya dengan menulis wasiat.

“Wasiat bukan sahaja mengenai harta tetapi anda juga boleh menyatakan apa jua hasrat yang ingin dilaksanakan selepas kematian.

“Sebagai contoh, anda boleh melantik AmanahRaya untuk mendermakan 1/3 bahagian Pusaka yang dimiliki kepada badan kebajikan, rumah anak yatim, pusat-pusat pengajian, melaksanakan badal haji dan sebagainya.

“Boleh juga melantik Amanah Raya menguruskan sejumlah harta untuk anak kelainan Upaya (OKU) selepas kematian pemilik harta,”katanya.

 


Tag: