Aris Ariwatan Cipta Lagu 'Kenyir Keindahan Alami'
HULU TERENGGANU, 21 Mac - Penyanyi terkenal tanah air, Aris Ariwatan atau nama sebenarnya Harris Fadzillah Daud mencipta lagu 'Kenyir Keindahan Alami' bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di pusat pelancongan terbabit.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Senator Datuk Razali Idris berkata, lagu tersebut telah digubah dengan baik serta disampaikan dengan penuh penghayatan menceritakan tentang keindahan di tempat yang menjadi tumpuan ramai pelancong itu.
"Saya ucap syabas kerapada saudara Aris kerana berjaya mencipta lagu ini dengan baik dengan diselitkan dialek loghat daerah Terengganu walau beliau bukan anak jati negeri ini tetapi merupakan orang Perak.
"Liriknya apabila diamati ia menyentuh secara keseluruhan tentang perihal serta keindahan yang ada di sini, saya harap dengan lagu yang mengikut 'trend' muzik semasa serta mempunyai kekuatan melodinya yang tersendiri, mampu menjadi satu daya penarik untuk lebih ramai pelancong datang ke Tasik Kenyir ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Lagu 'Kenyir Keindahan Alami' dan Penutup Kenyir Eco Trophy 2022. di Pengkalan Gawi, di sini semalam.
Lagu berkenaan secara sahnya telah dimiliki sepenuhnya oleh KETENGAH apabila menerima akta hak cipta lagu daripada Aris di majlis tersebut.
Mengulas lanjut Razali berkata, lagu berkenaan sebenarnya telah lama disiapkan,namun kerana pandemik Covid-19 pelancarannya terpaksa ditangguhkan.
"Hampir dua tahun lagu telah dicipta hasil pengalaman Aris sendiri setelah meneroka kawasan ini," katanya.
Dalam pada itu menurut Aris, lagu berkenaan mengandungi unsur pendidikan iaitu menceritakan mengenai sejarah tasik tersebut.
"Menerusi klip video lagu ini saya meminjam watak 'Tok Aki' untuk diketengahkan agar menarik minat orang ramai untuk kenal siapa diantara penduduk asalnya, seperti Encik Ahmad yusof yang saya sempat bertemu dengannya.
"Saya minta maaf jika ada salah dan silap atau kekurangan semasa menjayakan watak berkenaan, tujuannya adalah untuk memberikan gambaran serta elemen sejarah silam, serta pada lagu ini ada dialek daerah yang diketengahkan semoga ia mendapat tempat dan menjadi daya tarikan kepada seluruh rakyat malaysia untuk datang berkunjung dan mengenali destinasi pelancongan terkemuka ini,"ujarnya.