Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 15 November - 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa', itu peribahasa sesuai bagi menggambarkan keadaan terkini bas dua alam (Amphicoach) yang dibeli dengan harga RM3.3 juta oleh kerajaan terdahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pegawai undang-undang Terengganu untuk mengambil tindakan lanjut.
Katanya, bas itu tidak dapat diserahkan dengan sempurna kepada kerajaan negeri oleh kontraktor dilantik akibat tiada kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut.
"Sebelum ini kerajaan negeri membatalkan pembeliannya atas faktor kelewatan projek dan isu keselamatan berikutan keadaan bas tersebut tidak menepati spesifikasi dan skop kontrak yang telah ditetapkan.
"Ada pihak yang menyarankan supaya bas amfibia itu dijadikan tukun tiruan, tontonan di muzium negeri dan diubah suai sebagai sebuah kafe supaya tidak berlaku pembaziran.
"Kita akan nilai semua cadangan, apa yang penting tidak mahu ia terbengkalai," katanya kepada pemberita selepas meninjau bas dua alam, Amphicoach di sini, hari ini.
Menurut Ariffin, oleh kerana gagal diserahkan kepada kerajaan negeri atas beberapa sebab, maka ia telah ditamatkan kontrak pada 17 Disember 2019.
"Sebanyak RM3.3 juta kos projek, tarikh mula 1 Januari 2015 sepatutnya siap pada 30 Ogos 2015, maknanya lebih kurang enam bulan sahaja, tetapi tarikh siap semasa 5 Oktober 2017," ujarnya.
Untuk rekod, Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said yang bertanggungjawab dalam pembelian bas dua alam pernah bertanya adakah JPJ tidak boleh bertolak ansur dalam kelulusan operasi Amphicoach.
Namun Ariffin menjelaskan bahawa bas amfibia yang tiba di Terengganu berjenama MAN dan bukan Iveco Bus sebagaimana ditempah pada peringkat awal.
“Amphicoach sebenarnya adalah bas biasa yang diubah suai. Pengubahsuaiannya yang tidak memenuhi spesifikasi, diragui oleh JPJ dan Jabatan Laut.
“Selain beberapa masalah teknikal lain, kenderaan yang ada 42 tempat duduk penumpang ini juga tidak mendapat kelulusan JPJ kerana gagal dalam ujian keseimbangan bas yang boleh mengundang bahaya,” katanya.