KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Paras air di Empangan Hidro di Stesen Janakuasa Kenyir Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih terkawal dan di bawah paras limpah sekali gus menafikan berita tular di media sosial yang mengatakan sebaliknya.
TNB memaklumkan pemantauan secara berterusan sedang dijalankan dan maklumat yang berkaitan sentiasa disalurkan kepada pihak berkuasa secara berkala.
"Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi TNB di Facebook TNB Careline atau Twitter Tenaga_Nasional sahaja," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TNB, di sini, pada hari ini.
Terdahulu, melalui perkongsian orang ramai di media sosial, satu klip video memaparkan siren di Empangan Kenyir berbunyi sebagai isyarat meminta penduduk Terengganu terutama di Daerah Hulu Terengganu berhati-hati kerana akan berlaku banjir yang lebih besar disebabkan air empangan dilepaskan.
Video tersebut menimbulkan kegusaran dan kembimbangan dalam masyarakat.