KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Pihak tertentu digesa untuk tidak mengelirukan rakyat dengan menyamakan pembelian saham oleh syarikat kontroversi, GIP-Blackrock di pasaran terbuka dengan aset strategik negara, Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB).
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui pasaran terbuka atau bursa saham sesiapa sahaja boleh membeli tanpa ada sekatan atau halangan daripada undang-undang kerajaan.
“(Di pasaran terbuka) semua boleh beli dengan peratus tertentu.
“Tetapi apabila penjualan saham itu melibatkan tawaran khusus yang bukan di pasaran terbuka ia adalah satu cerita berbeza.
“Apa yang dibangkitkan oleh orang ramai sama ada di luar atau di dalam Parlimen adalah berkisar tentang ini (penjualan saham bukan di pasaran terbuka),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas 'One off' tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kemaman itu turut membangkitkan persoalan tentang keperluan untuk menjual saham milik MAHB tersebut kepada entiti antarabangsa yang berdepan dengan pelbagai kontroversi.
“Apa keperluan kita menjual saham 30 peratus itu kepada mereka, kenapa mereka mendapat keistimewaan tersebut?,” soal beliau.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Khazanah Nasional mempertahankan tindakan penjualan saham itu dengan memberi alasan Blackrock sudah lama membeli saham dalam syarikat di Malaysia.
"Kita ini negara berkembang, tengok tahap keupayaan kita, jangan kerana nafsu serakah nak tunjuk hebat, kita rosakkan kepentingan negara, itu prinsip secara umumnya,” katanya.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat, agamawan, cendekiawan dan tokoh negara yang tidak bersetuju dengan kenyataan Anwar.
Tokoh pemikir Dr Chandra Muzaffar yang juga antara pengasas utama PKR yang satu masa dulu, berkata tidak ada justifikasi untuk menjual saham MAHB kepada GIP-Blackrock yang berdepan tuduhan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel.
"Mengapa kita perlu bekerjasama dengan syarikat yang dimiliki sebuah entiti yang mempunyai hubungan rapat dengan ketenteraan Israel dan AS.
"Ini sesuatu yang membimbangkan kerana ia melibatkan lapangan terbang - bukan restoran atau pasar raya - yang akan diuruskan GIP yang dimiliki BlackRock?," soal Chandra.