Boikot Barangan Keluaran Golongan LGBT

Satiful Bahari Mamat

Kerajaan negeri meminta masyarakat tidak memberi sokongan dan membeli produk keluaran golongan lesbian, gay, biseksual dan transgander (LGBT) sebagai tanda memprotes agar mereka kembali ke pangkal jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, masyarakat perlu memainkan peranan kerana perkara mungkar menjadi tanggungjawab bersama untuk dicegah dan bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan.

"Jangan kita jadi pengikut mereka di media sosial seperti Facebook dan kita promosikan mereka, kita beli barang mereka, lagilah keadaan akan bertambah serius dan jangan serah kepada kerajaan saja untuk selesaikan isu LGBT ini. Semua masyarakat perlu mainkan peranan, jangan beri galakan kepada mereka. Kalau semua orang marah, tak selesa...mereka InsyaAllah akan berubah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas dihubungi oleh Urusetia Penerangan Darul Iman ( UPDI ) bagi mengulas cadangan sesetengah pihak yang dilihat seolah - olah mahu membela golongan LGBT ini.


Cadangan golongan LGBT boleh menggunakan tandas OKU adalah satu cadangan yang tidak munasabah.

 Satiful berkata, saranan sesetengah pihak agar golongan transgender menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU), adalah satu cadangan yang paling tidak munasabah dan menempelak sendiri cadangan yang dikeluarkan oleh seorang yang beragama islam itu sendiri.

"Dia perlu tandas ke? Mana boleh guna tandas OKU kalau dia sendiri bukan OKU dan ini merupakan satu cadangan yang boleh dikatakan kurang sesuai dan tidak munasabah langsung" katanya .


Bagaimanapun, Satiful berkata, peratusan yang terlibat dengan  LGBT di negeri ini  masih lagi rendah iaitu tidak sampai satu peratus daripada keseluruhan rakyat negeri ini yang dianggarkan seramai 1 juta orang.

"Kita lihat sekarang golongan LGBT ini mahu masyarakat menerima mereka tetapi kita tengok mereka sendiri tidak boleh menerima diri mereka dan perkara-perkara ini terjadi saya rasa kerana kita terlalu terikut dengan situasi berlaku di negara barat dan kita import ke dalam masyarakat kita," katanya.

Katanya, kerajaan negeri menerusi portfolionya di bawah Bahagian Pelaksanaan Syariah mengambil pendekatan lembut dalam menangani masalah berkenaan termasuk melibatkan mereka dalam seminar seperti yang telah dianjurkan baru-baru ini.




Tag: