Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
KUALA TERENGGANU, 16 April - Cadangan projek pembesaran dan menaik taraf Jambatan Buluh Gading di Kuala Nerus akan disenarai semula dalam perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 'Rolling Plan' 2 (RMK13RP2) selepas permohonan sebelum ini belum mendapat kelulusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, cadangan menaik taraf jambatan tersebut telah dimasukkan dalam skop kerja projek menaiktaraf.
"Cadangan pembesaran dan naiktaraf Jambatan Buluh Gading telah dimasukkan dalam skop kerja projek Menaiktaraf Jalan Dari Kubang Jela ke Bulatan Batu Enam (Fasa 2).
"Permohonan projek telah dibuat dalam Rancangan Malaysia ke-Dua Belas Rolling Plan 1 hingga 5 (RMK12RP1-5) yang lalu, namun setakat ini masih belum mendapat kelulusan.
"Cadangan pelaksanaan projek ini akan disenaraikan semula dalam cadangan projek pembangunan di bawah RMK13RP2," katanya.
Beliau menjawab cadangan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut Hanafiah, projek itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada dua kepada empat lorong sepanjang empat kilometer serta penggantian jambatan Buluh Gading yang telah berusia lebih 61 tahun sejak dibina pada tahun 1964.
"Kos keseluruhan projek ini dianggarkan sebanyak RM480.9 juta, dengan RM39 juta diperuntukkan khusus untuk pembinaan jambatan baharu Buluh Gading.
"Ia merupakan kesinambungan kepada projek naik taraf jalan FT003 dari Durian Burung ke Pulau Rusa yang telah siap pada 2011," jelasnya.
Hanafiah turut menegaskan bahawa sekiranya projek ini diluluskan dalam RMK yang akan datang, pelan pembinaan jambatan baharu akan mengambil kira keperluan semua pihak, termasuk laluan bot pelancong yang menjadi salah satu tarikan utama di kawasan tersebut.
"Rekabentuk jambatan akan dirangka secara menyeluruh, bukan sahaja untuk kemudahan penduduk setempat tetapi juga bagi menyokong perkembangan sektor pelancongan secara mampan," tambah beliau.