Dana Raya Untuk Anggota Keselamatan Seluruh Terengganu


Ahmad Razif bergambar bersama sebahagian anggota polis pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kerajaan negeri hari ini mengumumkan khabar gembira kepada lebih 5,000 anggota keselamatan negeri ini apabila menyalurkan bantuan dana raya yang melibatkan peruntukan kira-kira RM5 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ganjaran itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pasukan mereka dalam memastikan keselamatan dan keamanan di negeri ini sentiasa terpelihara.

Sebagai mengenang jasa pasukan keselamatan seperti pasukan polis, tentera dan lain-lain lagi, kita wujudkan satu skim dana khas untuk pasukan keselamatan iaitu dana mengenang jasa pasukan keselamatan.

“Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat exco sebelum pembubaran DUN baru-baru ini. Bagi yang bukan muslim kita ikut perayaan mereka. Untuk yang beragama Islam pembayaran bonus itu akan dibuat mulai bulan puasa ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail.

Menurut Ahmad Razif, pemberian dana tersebut tanpa mengira pangkat dengan anggota keselamatan yang sudah berkahwin akan menerima sebanyak RM400 manakala pemberian sebanyak RM200 kepada anggota yang masih bujang.
Dalam majlis tersebut, Ahmad Razif turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis dan RM50,000 setahun kepada Persatuan Keluarga Polis Negeri Terengganu (PERKEP).

Tag: