Dari Berniaga Di Bonet Kereta, Kini Miliki Gerai Nasi Bajet
Bermula dengan hanya menjual tat telur dan roti sarang lebah melalui bonet kereta sejak 2013, Zulkifli Yusof kini mampu membuka kedai makan sendiri yang dikenali sebagai `Nasi Bajet Hot Kak Zie,' di Jalan Air Putih, Batu 2 1/2, Kemaman.
Zulkifli yang dipanggil Pak Li, 46, dibantu adiknya Azizah, 32, beralih angin dan mencuba nasib dengan menceburi perniagaan nasi bajet berikutan permintaan yang tinggi di kalangan penduduk sekitar.
Azizah berkata, sebelum ini mereka pernah menjual kuih-muih melalui bonet kereta dengan meniaga di tapak pasar malam sekitar Kemaman sahaja.
"Mendengar kejayaan demi kejayaan para usahawan tempatan yang menceburi perniagaan berasaskan makanan seperti nasi bajet, turut membakar semangat kami untuk mencuba nasib dalam perniagaan ini.
"Pada awalnya memang tidak mudah berikutan persaingan di bidang ini begitu tinggi, namun saya dan adik cuba mengekalkan kualiti dan meniaga dalam kadar harga yang mampu dimiliki ramai membolehkan bisnes kami tetap bertahan dan menjadi pilihan ramai.
"Alhamdulillah saya bersyukur kerana hasil jualan saya semakin bertambah maju serta mendapat sambutan yang tinggi daripada pelanggan kami," katanya.
Menurut Zulkifli, walaupun bermula dengan modal yang terhad, dia mampu meraih pendapatan bersih sekitar RM3,000 sebulan selain menggaji pembantu kedai serta membayar sewa tapak kedainya itu.
Tambahnya, waktu berniaga bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali pada Jumaat.
"Di gerai kami terdapat berbagai menu pada waktu pagi, tengahari dan petang, antara menu pagi adalah nasi minyak, nasi lemak, nasi goreng ikan kukus, mee talam, laksam dan kuih-muih.
"Manakala menu tengahari pula adalah nasi bajet dengan pilihan tiga jenis lauk seperti ayam masak merah, kuah kari dan ayam goreng kunyit serta percuma sebotol air mineral. Nasi bajet tersebut hanya RM4 sahaja, manakala pada setiap Isnin kami ada menu istimewa iaitu nasi dagang," katanya.
Pada setiap petang pula, pelanggan disediakan makanan ringan sebagai kudapan petang seperti keropok goreng, pisang goreng ikan, sotong celup tepung dan lempeng kelapa.
Sementara itu, Azizah berkata, sambutan yang baik itu menyebabkan dia dan abangnya merancang untuk mengembangkan perniagaan dengan membesarkan kedai makan bagi menampung jumlah pelanggan yang kian bertambah.
"Selain pelanggan yang datang menikmati juadah di kedai, kami juga terima tempahan menerusi panggilan, SMS dan WhatsApp.
"Kebiasaannya juga ramai yang menempah melalui facebook akaun kami iaitu, Zie Azizah dan Zulkifli Yusof," katanya