EKSPO TERENGGANU 2018: Lembu Sado Curi Perhatian

Hero si sado yang berjaya memikat hati ramai pengunjung bernilai RM25,000

Sekumpulan lembu sado berjaya mencuit perhatian ramai pengunjung di Ekspo Terengganu 2018 yang sedang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus bermula 25 Februari sehingga 3 Mac ini.

Sado dan berotot dengan saiz yang besar menjadikannya sebagai salah satu booth yang dikunjungi ramai tidak mengira usia setiap masa.

Ateh


Dinamakan dengan nama-nama unik oleh pemilik-pemiliknya,setiap seekor mampu mencapai berat  antara 700 kilogram dan boleh mencapai sehingga satu tan.

Hero si lembu sado yang paling mencuri tumpuan ialah baka Charolis yang berusia empat tahun lima bulan bernilai RM25,000 milik Ahmad Ramali Mohd. Nor dari Kuala Terengganu.

Juga lembu yang dinamakan Tapong berusia tiga tahun 8 bulan berharga RM20,000 dari baka Belgium Blue milik Mohd. Rofi Abd. Razak dari Kemaman dan Ateh milik Ibrahim Mohammad dari Kampung Gong Pok Maseh di sini berusia empat tahun dengan nilai harga RM20,000.

Nurfatihah Zakaria bersama rakan teruja melihat salah seekor lembu sado yang dipamerkan 


Sementara itu, pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurfatihah Zakaria, 21, dari Pulau Pinang berkata, dia begitu teruja melihat saiz setiap lembu yang dipamerkan.

"Ya Allah..memang terkejut sangat tengok sendiri depan mata betapa besarnya lembu sado ni. Sebelum ni cuma baca dalam suratkhabar dan media sosial je tapi hari ni secara 'live'.

"Tak sangka ada lembu sebesar ni.. saya nak ambil gambar dan video bersama lembu-lembu sado ni untuk tunjuk kat emak dan keluarga bila balik ke Pulau Pinang, " ujarnya.


Tag: