Empat Beradik Kongsi Telefon Ibu Dapat Tablet Baharu
DUNGUN, 30 April - Simpati dengan nasib empat beradik yang terpaksa berkongsi telefon bimbit ibu untuk belajar, kerajaan Terengganu menghulurkan sumbangan tablet baharu buat keluarga mereka.
Ia bertujuan mengurangkan beban keluarga terbabit yang tinggal di Rantau Abang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menghargai jasa kerajaan negeri atas inisiatif menerusi Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) itu.
"Jutaan terima kasih kepada Terengganu Incorporated dan anak-anak syarikat Kumpulan yang terdiri daripada EPIC Berhad, Ladang Rakyat Terengganu (LRT) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) yang menaja tablet yang ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet di Dewan Al-Husna, Markaz Tarbiyah Darul Ansor Kampung Alor Mak Bah di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Dan Komunikasi Strategik EPIC Berhad, Abdul Azim Abdul Hamid, Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran EPIC Berhad, Rusdi Ngah dan Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Suridah Supian
Sementara itu, ibu pelajar berkenaan, Salwana Abdul Halim, 40, terharu dengan kecaknaan kerajaan megeri yang menyumbangkan tablet buat keluarganya.
Ibu muda anak enam itu menjelaskan, empat anaknya yang kini berada di tahun enam, empat, tiga dan dua terpaksa berkongsi telefon bimbitnya untuk mengikuti kelas pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).
"Kesian rasa kepada anak-anak, macam susahlah hendak ikuti kelas itu, sehingga sampai berlarutan ke malam hari baru boleh ikuti dengan baik apa yang cikgu ajar.
"Saya rasa syukur sangat-sangat atas keprihatinan kerajaan yang memahami masalah orang susah macam kami," ujar suri rumah yang mengusahakan makanan sejuk beku secara kecil-kecilan itu bagi membantu menambah pendapatan keluarga dan suami yang bekerja sebagai nelayan.
Dalam perkembangan sama, Siti Nurul Aini Adha Mohd Zahari, pelajar tingkatan empat yang turut menerima sumbangan tablet mengakui lega selepas tidak lagi perlu 'meminjam' telefon ibunya.
"Sebelum ini saya dan dua adik berkongsi telefon ibu untuk belajar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sekarang ada tablet ini, mudahlah untuk mengikuti kelas 'online', tidak perlu bergilir - gilir dengan adik," ujarnya yang baru kematian ayah.