Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyarankan pekebun durian di Terengganu lebih menumpukan penanaman pokok durian cantuman (klon) kerana harga pasaran yang lebih tinggi serta tempoh memperoleh hasil sangat singkat.
Pengarah jabatan itu, Fauzi Mohamad berkata, pekebun sewajarnya peka dengan pemintaan pasaran berikutan pelanggan yang lebih gemar memilih durian klon, termasuk musang king, raja udang merah, D1, D13, D24 dan D101 berbanding durian kampung atau durian asli.
“Berdasarkan harga pasaran, durian klon boleh mencecah antara RM40 hingga RM50 sekilo berbanding durian kampung hanya RM5 hingga RM10 sekilo.
“Lebih menarik, durian klon mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat iaitu antara empat hingga tujuh tahun selepas ditanam,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menyertai Program Jom Kenduri Durian, di perkarangan Rumah Kelab wartawan Media Terengganu (Kawat), Chendering, petang semalam.
Hadir sama, Pengerusi Kawat, Wan Abdul Rahman Hayat.
Fauzi memberitahu, pihaknya melalui Unit Pendidikan Fama berhasrat menganjurkan Kursus Penanaman Durian Musang King dalam tempoh terdekat sebagai usaha menggalakkan orang ramai menanam durian jenis itu.
Katanya, program sama pernah dianjurkan di Kelantan dan Negeri Sembilan mendapat sambutan sangat menggalakkan sehingga mencecah lebih 1,000 peserta pada satu-satu masa.
“Langkah itu pastinya boleh menanam minat, menambah ilmu pengetahuan dan memberi semangat terutama kepada pekebun dan pengemar durian untuk menambah pendapatan keluarga,”katanya.