Gerai Kuih Gong Kapas 'Pinor' Mata Nak Buat Pilihan

KUALA TERENGGANU,14 Julai - Perasan tak sejak kebelakangan agak susah untuk mencari kuih tradisional? Bila dah jumpa, selalunya cepat habis dijual. Bahkan, kuih tradisional lagi laris dari kuih yang biasa kita jumpa. Mungkin keistimewaannya terletak pada cara pembuatannya membuatkan ia sukar dicari.

Kepelbagaian kuih-muih tradisional yang dijual di Gerai  Kuih Tradisional Terengganu, Gong Kapas membuat siapa saja menjadi rambang mata, bukan saja penduduk tempatan tapi juga orang luar dan juga pelancong termasuk daripada luar negara yang datang ke Terengganu.

Lebih 100 jenis kuih-muih tradisional dijual di gerai milik Tengku Ahmad Tengku Mohamad, 56, yang terletak di persimpangan lampu isyarat Jalan Panji Alam,

Antara kuih tradisional yang boleh diperoleh di situ jala emas, seri kaya, akok, nekbat, tepung pelita, puding raja dan ada sesetengah kuih tradisional sukar diperoleh di tempat lain dan hanya dijual di sini.

Menurut Tengku Ahmad, perniagaan itu diwarisi dari moyangnya, arwahTengku Awang Tengku Mahmud yang memulakan bisnes tersebut awal tahun 1970 dengan hanya menjual kuih muih menggunakan beca roda tiga di lokasi sekarang.

“Selepas itu, bapa-bapa saudara saya ‘upgrade’ sedikit dengan membuka meja di tepi jalan depan gerai ini pada tahun 1980 an dengan lebih banyak pilihan kuih.

“Apabila saya mula mengambil alih tahun pada tahun 1986, kami membina gerai dan di situlah perniagaan kuih mula berkembang dan menjadi tumpuan ramai,”katanya.

Ujarnya, sambutan menggalakkan terhadap lebih 100 jenis kuih di gerainya membolehkan dia menjana pendapatan dari hasil komisen ke atas setiap kuih yang dijual.

Menurutnya, kebanyakan pembeli bukan sahaja dalam kalangan yang berusia, malah golongan muda turut mengambil peluang mencuba kuih-muih tersebut.

“Generasi kini mungkin tidak kenal dengan kuih hati sukma, koleh lemak atau lok lik, jadi saya manfaatkan kesempatan ini supaya mereka dapat merasai keenakan hidangan warisan kita,"ujar Tengku Ahmad lagi.

Beliau berkata kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda kini lebih cenderung membeli kuih muih moden mengikut trend selain peniaga juga semakin kurang untuk menerima dan menjual kuih-muih tradisional meski pun ia masih ada peminat tersendiri.

Justeru itu, kuih tradisional mutakhir ini semakin diancam kepupusan berikutan beberapa faktor.

Bahan mentah sukar didapati, kehilangan petua memasak, tidak dipraktikkan dan proses penyediaan yang renyah dikenal pasti antara punca kuih tradisional ini berdepan risiko lenyap ditelan zaman.


Tag: