Haram Vape Langkah Tepat Kerajaan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri mengambil keputusan tepat apabila bercadang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape secara total di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat terutama generasi muda.

"Lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelajar sekolah yang perlu dilindungi daripada bahaya vape yang semakin berleluasa, demi menjamin masa depan hidup mereka ke arah yang lebih baik dan cemerlang. 

"Di kesempatan ini, saya ingin mendapatkan beberapa penjelasan dan maklum balas dari pihak kerajaan terutamanya berkaitan isu rokok elektronik atau vape.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri atas penegasan tersebut dan saya berharap kerajaan negeri tetap teguh dengan pendirian ini walau apa pun cabaran yang akan dihadapi.

"Sehubungan itu, saya ingin tahu apakah status pelaksanaan cadangan tersebut sehingga kini .. duduk diperingkat mana dah dan bilakah dijangka ia akan dilaksana atau dikuatkuasakan…," ? soalnya dalam sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Ridzuan.

Menurut Ridzuan, beliau yakin semua pihak terutamanya ibu bapa melahirkan kebimbangan yang sama terhadap anak-anak mereka khususnya yang masih di bangku persekolahan. 

"Perkara ini dilihat lebih serius apabila Tuanku Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri menyarankan supaya penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total. 

"Saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK). 

"Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape," jelasnya.