• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Hasrat Rakyat Seri Bandi Miliki Tanah Bakal Tercapai

KEMAMAN, 14 November - Penduduk di Kampung Seri Bandi sudah boleh menarik nafas lega selepas kerajaan negeri meluluskan hampir 400 lot tanah untuk penduduk di sana.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, majlis undian lot tanah bagi penama yang layak akan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya sudah berurusan dengan pejabat tanah pagi (semalam), kalau sempat kita akan buat sebelum hari pengundian nanti.

“Majlis undian lot tanah ini melibatkan hampir 400 peserta generasi yang kedua setelah ia diluluskan di peringkat EXCO dan pejabat tanah,” katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Rakyat bersama Menteri Besar Terengganu di Kampung Seri Bandi.

Menurut Ustaz Hazri, agihan tanah itu adalah permulaan sebelum lebih banyak manfaat diberikan kepada rakyat di Seri Bandi.

“Insya-Allah ada lagi fasa yang kedua yang kita tengah rancang iaitu projek perumahan bercampur di kawasan Seri Bandi ini yang melibatkan keluarga B40.

"Projek perumahan bercampur juga bukan sahaja utnuk B40 tetapi ade juga kos sederhana dan banglo bagi anak-anak tempatan yang berpendapatan sederhana dan tinggi.

"Perumahan bercampur ini kita sedang usahakan lot banglonya, lot kos sederhananya, dan juga rumah mampu milik,” ujar beliau.

Kata Ustaz Hazri lagi, bagi memudahkan urusan rakyat, beliau sedang berusaha bagi memastikan kemudahan seperti pejabat pos, pasar dan bank diwujudkan di Seri Bandi.


Tag: