Hayati Semangat Hijrah Rasulullah

MARANG, 29 Julai - Pengajaran hjrah Rasulullah S.A.W serta para sahabat Baginda perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan sesuai dengan tema Maal Hijrah tahun ini ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, paling utama masyarakat perlu berhijrah dari perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T kepada amalan yang diredhai-Nya. 

“Kedua iaitu berhijrah dari sifat tercela seperti hasad dengki, buruk sangka, mengadu domba, memfitnah sesama sendiri sehingga mencetus perpecahan di dalam kehidupan bermasyarakat kepada akhlak mulia. 

“Ketiga ialah berhijrah dari mementingkan kepentingan peribadi dan politik kepada penyatuan ummah dan ini adalah antara intipati yang boleh kita ambil ibrah serta iktibar daripada hijrah Rasulullah S.A.W,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Sambutan Ambang Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Kelulut, Marang semalam.

Turut hadir Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Tambah Dr Samsuri, peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W dapat mengajak umat Islam untuk menggalas tanggungjawab memimpin masyarakat ke arah kemakmuran dan kesejahteraan ummah.

“Ajaran Islam yang sebenar hendaklah menjadi tonggak kepada hasrat negara yang diimpikan sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W,” katanya.

 


Tag: