• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Hutang Negara Cecah RM1.22 Trilion – Amzad

KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, mengkritik keras pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 kerana telah meningkatkan hutang negara paras RM1.22 trilion, kadar tertinggi dalam sejarah negara.

Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba memutarbelit fakta dengan mendakwa Kerajaan Madani berjaya mengurangkan pinjaman wang daripada RM93 bilion pada tahun lalu ke RM86 bilion tahun ini dan berbanding sekitar RM100 bilion pada 2021 dan 2022.

“Justifikasi yang diberikan oleh Anwar adalah tidak munasabah kerana hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu.

“Perbandingan dengan tahun 2021 adalah tidak adil kerana tahun tersebut adalah tahun pandemik COVID-19, di mana kerajaan terpaksa berhutang lebih untuk menangani krisis global yang melumpuhkan ekonomi seluruh dunia.

“Kerajaan ketika itu berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat dan mengimbangi ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Amzad juga mengkritik janji Kerajaan Madani untuk tidak menaikkan hutang, sedangkan jumlah kenaikan hutang bagi empat bulan pertama tahun 2024 adalah pada kadar paling laju dalam sejarah.

Beliau menyatakan bahawa kenaikan kedua terbesar berlaku pada tahun 2023 di bawah Kerajaan Madani juga, iaitu sebanyak RM93 bilion.

“Hutang tidak akan bertambah sekiranya kerajaan meminjam untuk membayar balik hutang lama,” jelasnya.

Beliau mempertikaikan formula yang digunakan oleh Anwar dengan mengatakan bahawa hutang semakin bertambah.

Selain itu, Ahmad Amzad turut mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa beliau terpaksa menanggung hutang-hutang lama termasuk 1MDB berjumlah RM48 bilion.

“Skrip yang sama juga digunakan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Walaupun 1MDB mempunyai hutang RM42 bilion, ia mempunyai banyak aset bernilai dan tidak menyebabkan negara bankrap.

“Namun, pinjaman RM50 bilion dalam tempoh empat bulan tidak pula dianggap membankrapkan negara.

"Hutang naik tinggi ketika Kerajaan Madani membuat bajet perbelanjaan terbesar dalam sejarah, iaitu RM393.8 bilion, lebih tinggi dari perbelanjaan tahunan semasa pandemik COVID-19,” ujarnya.

Beliau berkata apabila perbelanjaan sangat besar dalam keadaan bajet masih defisit, maka kenaikan hutang akan lebih laju.

Amzad menegaskan bahawa jika kerajaan berhasrat untuk mengurangkan hutang, ia perlu mengawal perbelanjaan, bukan meningkatkan perbelanjaan ke tahap paling besar dalam sejarah.

“Walaupun Kerajaan Madani berjaya menurunkan defisit ke 3.5 peratus pada tahun 2025, hutang tidak akan berkurang.

"Hal ini kerana, defisit tersebut bermakna perbelanjaan kerajaan lebih tinggi berbanding hasil dan ini memerlukan kerajaan untuk terus meminjam,” katanya.

Di samping itu, Amzad turut mengkritik tindakan Kerajaan Madani yang menghapuskan subsidi diesel, menyebabkan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 kepada RM3.35 seliter dengan alasan untuk menanggung ketirisan.

“Kenaikan harga diesel turut menyebabkan harga barang naik, sementara tangga gaji masih di takuk yang sama, menambah bebanan kepada rakyat.

“Saya menggesa PMX untuk berhenti menuding jari ke arah orang lain dan mengakui kelemahan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” ujarnya.

Beliau memberi amaran bahawa jika keadaan ini berlarutan, ekonomi negara akan menjadi lebih teruk dan rakyat akan paling terkesan.


Tag: