KUALA TERENGGANU, 18 Februari –Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengenalpasti 22 lokasi panas yang kerap berlaku kesalahan hutan di kawasan hutan simpan kekal di negeri ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Azni Rahman A Wahid berkata, lokasi itu telah dikesan pihaknya hasil pemantauan dan rondaan dijalankan ke atas lebih 540 ribu hektar hutan simpanan kekal.
“Antara bentuk penguatkuasaan dan rondaan yang diadakan dari semasa ke semasa seperti empat operasi bersepadu sempena musim perayaan tahun baru cina bermula 29 Januari sehingga 6 Februari.
“Operasi rimba ini melibatkan 75 orang kakitangan jabatan menjalankan pemantauan 24 jam bersama pelbagai agensi selama seminggu adalah bagi memastikan sumber hutan negeri terjamin daripada segala anasir-anasir penerokaan dan pencerobohan hutan.
“Sementara itu, penggunaan kaedah teknologi terkini turut dipraktikkan seperti pemantauan secara udara yang dilakukan tahun lepas menerusi helicopter bersama pasukan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia,” katanya
ketika ditemubual pemberita baru-baru ini.
Tambahnya, teknologi dron turut diterbangkan bagi tujuan sama di samping Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan penggunaan imej satelit secara berkala.
“Ini bagi melihat dan merekod sebarang perubahan gambaran hutan, jika didapati berlaku perbezaan keadaan hutan maka siasatan lanjut akan digerakkan di lapangan tersebut.
Bercakap tentang dakwaan berlaku isu menduduki hutan simpan tanpa kebenaran di Hutan Simpan Rasau Kertih, Azni Rahman menjelaskan, masalah tersebut telah dikenalpasti pihaknya di seluruh kawasan dalam negeri.
“Mana-mana penduduk tempatan yang didapati meneroka kawasan hutan dengan tanaman kelapa sawit dan buah-buahan boleh diambil tindakan jika sekiranya ia selaras dengan kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN).
“Kita juga telah mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan negeri bagi mendapat kelulusan untuk tindakan bersepadu, sama ada untuk dimusnahkan atau sebaliknya, ini bergantung kepada beberapa kriteria.
“Jika penanaman haram tersebut baru lagi, kita akan ambil tindakan segera dan menanam kembali hutan tersebut, jika telah lama diteroka maka kita perlu mengambil keputusan merujuk kepada kerajaan negeri supaya Jabatan Perhutanan boleh bertindak tanpa implikasi perundangan,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk mengambil langkah drastik jika berlaku kes pencerobohan atau sebarang aduan berkaitan penerokaan, penebangan haram dan kecurian balak.
“Jabatan Perhutanan sentiasa peka dan akan menjalankan fungsi tanpa memilih bulu, itu memang peranan kami dalam menjaga dan memelihara sumber hutan di sini,” tambahnya.
Ujar Azni Rahman, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang aduan jika berlakunya sebarang kes kesalahan hutan untuk tindakan selanjutnya disamping pemantauan dari semasa ke semasa yang dijalankan.