Jangan Kenakan GST Terhadap Barangan Asasi Rakyat

MARANG, 3 Jun - Kerajaan disaran supaya tidak mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap barangan keperluan asasi rakyat jika terus berhasrat untuk melaksanakan cukai tersebut.

Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu perlu dibuat dengan mengambil kira rakyat yang kini terbeban dengan kos sara hidup tinggi.

"Perkara ini sangat wajar dipertimbangkan dengan cara yang adil dan saksama," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tidak menjadi masalah jika cukai itu dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi atau mereka yang terlibat dalam industri.

"Apa yang penting kecualikan barangan asasi yang menjadi keperluan rakyat daripada GST kerana kita tidak mahu ia menjadi beban kepada rakyat biasa," katanya.

Minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan sebagai berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.

Sekali gus ia dilihat sebagai signal untuk kerajaan melaksanakan semula GST.

 


Tag: