• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Jangan Ketepi KK Jabi - Shaharizukirnain

Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir meninjau keadaan air di DUN Langkap baru-baru ini (6 November).
Oleh: Dzakaria Mohd Salleh

KUALA LUMPUR, 5 Disember - Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berharap Kementerian Kesihatan tidak akan mengenepikan projek ubah suai, naik taraf dan pembaikan Klinik Kesihatan (KK) Jabi dan pembinaan KK jenis empat di Rhu Sepuloh, Permaisuri.

Menurutnya, dengan pengurangan bajet sebanyak RM22 juta daripada RM95 juta (2018) kepada RM73 juta (2019), projek kepentingan rakyat luar bandar ini diharap dapat dilaksanakan.

Shaharizukirnain berkata, isu berkenaan naik taraf dan pembesaran KK Jabi pada ucapannya yang lepas masih belum dijawab oleh menteri meskipun dalam jawapan bertulis.

"Insya-Allah harap menteri boleh jawab lisan selepas ini. Dengan kapasiti tapak 520 kaki persegi tidak mungkin dapat menampung penduduk seramai 35,000 orang.

"Ini merupakan kepentingan rakyat luar bandar yang sehingga ke hari ini terpaksa ke hospital daerah Besut yang terletak jauh dengan mereka bagi mendapatkan rawatan disebabkan KK Jabi yang sedia ada tidak mampu lagi menampung penduduk yang seramai itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu kesihatan pada Sidang Parlimen yang sedang  berlangsung sekarang sehingga 15 Disember ini.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian terbabit kerana akan menjadikan pembinaan KK jenis empat di Rhu Sepuloh antara projek utama di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11)  nanti.

"...saya ingin ucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana akan menjadikan pembinaan klinik kesihatan jenis empat di Rhu Sepuloh antara projek utama."

Tag: