JHEAT: Perkahwinan Tanpa Kebenaran Undang Masalah Besar

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi peringatan terhadap perkahwinan tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan kerana ia boleh mengundang pelbagai masalah besar. 

Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, Moktar Salleh berkata perbuatan tersebut melanggar Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 dan boleh didakwa. 

Menurutnya, peringatan tersebut dikeluarkan kerana beberapa kes berkaitan telah berlaku di Terengganu, di mana pasangan menghadapi pelbagai masalah akibat perkahwinan tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan.

"Seksyen 125 enakmen tersebut memperuntukkan bahawa perkahwinan tanpa kebenaran boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kegiatan tersebut bukan sahaja pasangan boleh kena dakwa, tetapi jurunikah, wali, saksi dan semua terlibat boleh didakwa kerana bersubahat.

"Kami ingin mengingatkan masyarakat tentang kesan buruk berkahwin tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan. Ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pasangan dan anak-anak mereka," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di pejabatnya hari ini.

Turut hadir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKP) Khidmat Nasihat Bahagian Undang-Undang Keluarga, Hasyimah Zakaria.

Moktar berkata berdasarkan rujukan kes-kes yang telah berlaku sebelum ini, terdapat pasangan yang telah berkahwin di Thailand tetapi tidak membuat pengesahan perkahwinan tersebut. 

Beberapa bulan kemudian katanya, mereka pulang ke Malaysia dan berkahwin semula melalui proses kebenaran biasa tanpa memaklumkan bahawa mereka telah berkahwin di Thailand sebelumnya

Namun begitu, mereka kembali ke Pejabat Agama setelah berkahwin bagi membuat pengesahan perkahwinan di Thailand balik kerana timbul masalah pendaftaran kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Ini kerana tempoh masa antara tarikh kelahiran anak dengan tarikh perkahwinan di Malaysia tidak cukup 6 bulan qamariah untuk mensabitkan nasab anak dengan si bapa. 

"Oleh itu, mereka menghadapi kesukaran untuk mendaftar kelahiran anak dan terpaksa menjalani proses baru untuk mengesahkan perkahwinan di Thailand dan sekaligus membatalkan surat nikah Malaysia yang telah dikeluarkan," jelasnya.

Moktar menjelaskan bahawa pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran berisiko terjebak dalam sindiket perkahwinan tidak sah.

"Kesukaran juga timbul dalam proses pendaftaran kelahiran anak. Tanpa dokumen yang sah, anak-anak sukar untuk didaftarkan dan mendapat kemudahan asas seperti pendidikan dan rawatan kesihatan.

"Terdapat juga kesulitan yang dihadapi oleh pasangan dalam menuntut hak di Mahkamah Syariah termasuk nafkah, mut'ah, pusaka, perceraian, dan harta sepencarian," jelasnya.

Selain itu, pewalian nikah juga menjadi sukar tanpa pendaftaran yang sah dan urusan perbankanjuga terjejas, termasuk pengeluaran wang atau penutupan akaun bagi pemohon yang kematian pasangan. 

Moktar turut menekankan kesukaran lain yang dihadapi oleh pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran, seperti mendapatkan kemudahan rawatan warganegara, memohon bantuan kerajaan, dan pendaftaran sekolah anak. 

"Tanpa dokumen sah, proses ini menjadi rumit dan memerlukan masa yang lama dan urusan pasport dan visa juga menjadi rumit tanpa dokumen yang sah," jelasnya.

Tambahan lagi, Moktar mengingatkan bahawa penjawat awam yang berkahwin tanpa kebenaran juga boleh menghadapi masalah dalam urusan pencen mereka. 

"Beberapa usaha telah dilaksanakan oleh JHEAT untuk menangani isu ini, termasuk memasang billboard peringatan di beberapa daerah dan mengadakan kempen kesedaran di seluruh negeri. 

"Kami mahu memastikan masyarakat mendapat maklumat yang betul dan memahami kepentingan mematuhi undang-undang perkahwinan," katanya.

JHEAT mengajak masyarakat untuk menggunakan sistem permohonan perintah pengesahan dan pendaftaran perkahwinan E-Permohonan 4P yang disediakan.

"Kami sedia membantu pasangan yang memerlukan bantuan dalam proses pendaftaran perkahwinan mereka.

"Dengan ini, JHEAT berharap masyarakat akan lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kebaikan bersama," ujarnya.

 


Tag: