• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

JHEAT Serbu Sarang Mak Nyah, Cekup Tujuh Individu

KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah melaksanakan serbuan besar-besaran di salah sebuah flat di daerah ini, melibatkan tangkapan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti mak nyah.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata kesemua individu ditahan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 iaitu lelaki yang berlagak seperti perempuan.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan kesemua mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali sebatan atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000.

“Operasi malam tadi bermula pada pukul 10 malam, melibatkan kira-kira 20 anggota penguatkuasa dan sukarelawan.

“Pasukan ini memulakan operasi dengan melakukan pemantauan awal di kawasan Flat Kolam terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Aizi berkata pemantauan awal menunjukkan suasana 'meriah', dengan motosikal berlegar dengan aksi tawar menawar mak 'nyah'.

“Dalam operasi ini, pasukan JHEAT berjaya menyerbu tiga daripada empat rumah yang dikenalpasti. Satu rumah tidak dapat diserbu kerana lokasi yang sukar diakses.

“Ketika pasukan penguatkuasa dan sukarelawan mula bertindak, mereka mengesan teknik penyamaran daripada penguatkuasaan,” jelasnya.

Beliau berkata, pasukan penguatkuasa awalnya menyamar sebagai pelanggan yang berpura-pura melanggan perkhidmatan yang ditawarkan.

Namun, apabila individu tersebut menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba menahan pintu bilik daripada dibuka hingga mencetuskan suasana tegang.

“Pasukan penguatkuasa berjaya memasuki rumah mereka dan membawa semua suspek ke JHEAT.

“Seorang daripada suspek cuba melarikan diri semasa proses penangkapan tetapi berjaya ditangkap kemudiannya,” katanya.

Menurut Aizi, operasi tersebut merupakan hasil perancangan dan strategi serta pemantauan teliti sebelum ia berjaya dilaksanakan.

“Penangkapan ini melibatkan individu dari pelbagai lokasi, termasuk Setiu, Kuala Terengganu, Pahang dan Sarawak. Beberapa daripada mereka juga telah menjalani pembedahan untuk membuang kemaluan lelaki di Thailand.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JHEAT dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan aktiviti mak nyah di negeri ini,” ujarnya.


Tag: