JHEAT Siasat Dakwaan Tiang Tempat Nabi Khidir Bersandar di Surau Tokku Paloh

KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang menyiasat dakwaan mengenai kewujudan sebatang tiang yang dikatakan menjadi tempat Nabi Khidir AS bersandar ketika bertemu ulama besar Terengganu, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh.

Tiang tersebut terletak di Surau Tokku Paloh dan menjadi perhatian susulan penyebaran video oleh pemilik akaun TikTok, Remy Lepat Liat.

Video bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu’ telah menjadi tular sejak Ahad lalu, menarik minat ramai pengguna media sosial.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima maklumat mengenai perkara itu sebelum ini, namun ia masih di peringkat siasatan.

“Kita sudah mendapat maklumat berkaitan sebelum ini dan kita dapati video mengenainya telah tersebar di media sosial baru-baru ini,” katanya menurut laporan berita Sinar Harian pada selasa.

Video berdurasi 2 minit 58 saat itu memaparkan kawasan yang dipercayai Makam Tokku Paloh di Kampung Serada. Video tersebut menunjukkan orang ramai mengunjungi kawasan itu untuk melihat sendiri sebatang tiang yang dikatakan menjadi tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu ulama abad ke-19 Terengganu itu.

JHEAT mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu hasil siasatan rasmi.

“Kami berharap masyarakat dapat bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan teliti,” kata M Rozi.

Sementara itu, pihak berkuasa juga meminta agar orang ramai berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang belum sahih bagi mengelakkan kekeliruan dan fitnah. Hasil siasatan ini dijangka akan diumumkan sebaik sahaja ia selesai.

 


Tag: