• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

JKNT Nafi Peningkatan Kes Rotavirus

KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan yang tular kononnya terdapat peningkatan kes rotavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, ini berdasarkan siasatan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu mendapati hanya dua kes sahaja yang telah disahkan mendapat jangkitan rotavirus di HSNZ pada Minggu Epidemiologi ke-28 (7 Julai 2024 hingga 13 Julai 2024).

“Kedua-dua kes berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di HSNZ.

“Sehingga kini, tiada peningkatan kes rotavirus di HSNZ seperti yang ditularkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya  akan sentiasa memantau perkembangan terkini kejadian jangkitan rotavirus serta penyakit-penyakit berjangkit yang lain, disamping meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan yang berterusan.

Menurut Dr Kasemani, Rotavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan sistem pencernaan.

“Rotavirus boleh berjangkit apabila termakan najis individu yang dijangkiti (faecal-oral) sama ada melalui air atau makanan yang tercemar, sentuhan secara langsung dengan individu yang dijangkiti, atau melalui alat permainan, peralatan, dan permukaan yang tercemar.

Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengambil makanan dan minuman yang selamat.

“Pastikan basuh tangan setiap kali selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak, sebelum makan, dan sebelum menyediakan makanan dan minuman.

“Orang ramai juga perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya bergejala,”jelasnya.


Tag: