• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

Kadar Kebergantungan Kepada Royalti Tertinggi Pada 2012, Terendah 2020

BESUT, 22 Oktober - Tahun 2012 merekodkan kadar kebergantungan Kerajaan Negeri terhadap royalti petroleum paling tinggi berbanding tahun-tahun yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Kerajaan Negeri ketika itu merekodkan kebergantungan kepada royalti sebanyak 87.41 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan,

Manakala jelas Wan Sukairi, kadar paling rendah direkod pada tahun 2020 iaitu 62.95 peratus dengan perbezaan sehingga 21.46 peratus berbanding 2012.

"Sejak 2018, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa berusaha untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada dana khas petroleum.

“Pada 2010 sehingga 2014, kadar kebergantungan hasil negeri kepada royalti adalah purata 84.4 peratus iaitu bersamaan RM8.24 billion dalam tempoh empat tahun.

“Tempoh 2018 sehingga 2021, kita berjaya menurunkan purata kepada 68.7 peratus bersamaan RM5.17 billion, maknanya kita sudah ada sumber lain untuk berbelanja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan rakyat pada Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square,Kg Raja, di sini, baru-baru ini.

Turut serta sebagai ahli panel, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri; Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Tambah Wan Sukairi, walaupun berjaya mengemudi kerajaan ini tanpa dana khas petroleum sepenuhnya tetapi, itu bukan bermakna Terengganu tidak perlu menuntut hak yang dinafikan.

“Mempertahankan hak adalah satu kewajipan, tak boleh dibiarkan pihak lain mengambil sewenangnya, duit kita tetap kepunyaan rakyat.

“Sejak dinafikan hak, pihak kerajaan tak pernah berhenti melakukan usaha sehingga dikembalikan semula hak rakyat.

“Di bawah pimpinan terkini, kerajaan mengambil pendekatan toleransi, diplomasi, murni dan baik, tidak pula dengan pendekatan kasar seperti demonstrasi, rusuhan, atau tindakan perundangan, kerana ia akan merugikan rakyat.

“Kerajaan Terengganu sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan, apabila dipanggil bermesyuarat atau perbincangan, kita selalu hadir ke Putrajaya.

“Kita berharap rakyat juga turut mendoakan supaya dibukakan pintu hati mereka, pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha dengan apa cara sekalipun untuk dapatkan kembali hak rakyat yang dinafikan,” ujarnya.

 


Tag: