Kadar Zakat Fitrah Terengganu Minimum RM7

Osman (kiri) menunjukkan kadar zakat fitrah bagi Negeri Terengganu pada Majlis Pengistiharan Ketetapan Fitrah Bagi Tahun 2018 di Pejabat Maidam, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 setiap orang.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Osman Muda berkata, kadar tersebut dikira berdasarkan kepada harga beras Gred Super Tempatan di pasaran setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus hancur serta lima peratus hancur.

"Kadar fitrah yang ditetapkan dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau sukatan 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pengistiharan Ketetapan Fitrah Bagi Tahun 2018 di Pejabat Maidam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Osman berkata, pada tahun ini bayaran fitrah hanya boleh dibuat dengan wang tunai sahaja.

“Untuk membayar fitrah, orang Islam di negeri ini bolehlah membayarnya di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam dari 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja biasa.

“Bagi memberi kemudahan kepada orang ramai, bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini, kaunter bayaran zakat Maidam termasuk kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka tujuh hari seminggu bermula 8.30 pagi hingga 4 petang dan bagi kaunter zakat UTC dibuka sehingga 9.30 malam,” ujarnya.

Menurut beliau, Maidam turut melantik seramai 1,021 amil pada tahun ini dan mereka akan menjalankan pungutan fitrah serta zakat harta di setiap masjid dan surau di seluruh negeri ini.

“Setelah selesai bayaran dibuat, para pembayar jendaklah memastikan menerima resit rasmi Maidam daripada amil berkenaan bagi mengelak berlakunya sebarang kesulitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Maidam akan mula mengagihkan bantuan zakat sempena Ramadan kepada asnaf yang layak di seluruh negeri bermula 20 Mei ini.

“Tahun ini Maidam memperuntukkan sebanyak RM12,825,600 di bawah sinf faqir/miskin melibatkan seramai 26,435 bilangan ketua isi rumah.

“Manakala bagi sinf mualaf, Maidam memperuntukkan sebanyak RM550,000 dan diagihkan kepada 1,100 ketua isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Maidam telah memungut sebanyak RM6,154,278.60 yang menyumbang kepada 4.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Terengganu yang berjumlah RM137,949,523.03 pada tahun lalu.

Tag: