• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kaji Perkenal Lesen Candat Sotong Bagi Keselamatan Pengunjung

MARANG, 10 Julai - Kerajaan Negeri sedang mengkaji langkah proaktif untuk meningkatkan keselamatan pelancong termasuk ketika mencandat sotong dengan memperkenalkan lesen bagi aktiviti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata inisiatif tersebut  dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan jika mendapat persetujuan semua pihak.

Katanya, ia melibatkan semua bot yang terlibat dalam aktiviti mencandat sotong dan mereka akan diberikan permit lesen khas. 

"Lesen ini berbeza daripada lesen bot biasa kerana ia khusus untuk aktiviti mencandat sotong sahaja, yang akan dikeluarkan dari bulan April hingga Oktober.

“Langkah ini bertujuan untuk memudahkan urusan bot-bot pelancong, pesisir, atau nelayan yang berminat untuk membawa pelancong mencandat sotong di laut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 yang berlangsung di Jeti Marang baru-baru ini

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong, dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Tambah Razali, pelesenan itu juga bertujuan untuk memastikan semua bot dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan yang mencukupi, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

"Insya-Allah, pada tahun hadapan, sebanyak mungkin bot mencandat sotong di seluruh Terengganu akan dilesenkan bagi memastikan tiada masalah timbul sekiranya berlaku sebarang insiden.

"Saya yakin dan percaya, dengan pelesenan ini, lebih ramai pelancong akan datang ke Terengganu untuk mencandat sotong kerana yakin semua bot yang ada lesen dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan yang mencukupi," jelasnya.

Beliau berkata, permohonan untuk lesen tersebut akan dibuat kepada Jabatan Laut bersama dengan Lembaga Urus Air Terengganu (LUAT).

"Langkah ini juga diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri Terengganu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan negeri," ujarnya.

 


Tag: