• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Keluar Mengundi Sebelum Tunai Umrah

MARANG, 19 November - Seramai 20 orang peserta umrah daripada Kampung Sentul Patah teruja kerana dapat melunaskan kewajipan mengundi sebelum menunaikan ibadah umrah pada hari ini.

Salah seorang peserta, Zaki Ismail, 60, berkata dia tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila mengundi dan menunaikan umrah pada hari yang sama.

Katanya, selama lebih tujuh penggal menunaikan tanggungjawab mengundi, hari ini merupakan hari paling bersejarah dalam hidupnya dan akan diingati sampai bila-bila.

“Petugas pilihan raya juga memberikan layanan dan kerjasama yang baik serta mempercepatkan lagi urusan bagi peserta umrah untuk mengundi.

“Kami bertolak dari rumah untuk mengundi pada pukul 7.30 pagi dan selesai semua urusan pada pukul 8.45 pagi, seteruskan akan bersiap sedia untuk berangkat menunaikan umrah pada tengah hari,” jelasnya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sentuh Patah di sini hari ini.

Sementara itu, Zulina Ali, 52, yang juga merupakan peserta umrah berkata keadaan mengundi pada hari ini begitu tenang dengan cuaca yang baik.

Dia berkata,calon yang dipilih merupakan paling layak yang boleh membawa tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dengan pengalaman dan ilmu yang luas.

“Semoga perjalanan pergi dan pulang kami berjalan dengan lancar dan terima kasih kepada semua pihak membantu dalam memudahkan urusan kami untuk berangkat ke Tanah Suci nanti,” katanya.

 

 

 


Tag: