Kerajaan Digesa Nokhtahkan Jenayah Siber

KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Terengganu digesa mengambil langkah lebih serius dalam menangani isu yang semakin meruncing iaitu berkaitan peningkatan kes jenayah siber di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memaklumkan, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, sebanyak 1,330 kes jenayah siber telah direkodkan sepanjang tahun 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 93 kes berbanding tahun sebelumnya. 

"Nilai kerugian yang direkodkan juga amat membimbangkan, iaitu lebih RM42 juta. Satu angka yang besar dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Jenayah siber ini melibatkan pelbagai bentuk penipuan termasuk pembelian dalam talian, pelaburan palsu, penyamaran sebagai pegawai kerajaan atau agensi kewangan dan juga pencurian data peribadi yang mana keadaan ini memerlukan perhatian serius dan tindakan segera," ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Udangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, usaha pencegahan mesti digiatkan dan peranan kerajaan negeri dalam memperkukuh literasi digital rakyat amat penting dan mendesak pada ketika ini dengan merangka satu pelan tindakan holistik untuk membanteras jenayah siber.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mengambil langkah yang lebih proaktif dan menyeluruh dalam menyantuni isu ini khususnya dengan memperluas program kesedaran keselamatan siber ke segenap lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar dan dalam kalangan golongan berisiko seperti warga emas dan pelajar sekolah.

"Selain melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat, pihak berkuasa tempatan, masjid dan surau sebagai saluran penyebaran maklumat dan kempen celik digital.

"Juga dengan menyediakan geran kecil atau sokongan logistik kepada NGO dan komuniti yang aktif dalam mendidik masyarakat tentang keselamatan siber, " katanya.

Malah, beliau turut mengalu-alukan inisiatif dijalankan agensi berkaitan di peringkat persekutuan termasuk kempen kesedaran dan pendidikan pengguna digital di peringkat komuniti, sekolah dan institusi pengajian.

"Antaranya, talian 997 yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia untuk aduan berkaitan insiden keselamatan siber dan juga Portal SemakMule oleh Polis Diraja Malaysia yang membolehkan orang awam menyemak nombor akaun bank atau nombor telefon sebelum membuat transaksi dalam talian, " ujarnya.