Hanafiah melihat salah satu beca yang diubah suai supaya lebih menarik. |
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri akan berbincang untuk mencari penyelesaian bagi memastikan mereka mendapat bantuan.
Beliau yang turun bertemu sekumpulan penarik beca di Pasar Kedai Payang, baru-baru ini memaklumkan akan memastikan golongan itu turut mendapat perhatian dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya juga difahamkan bahawa Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri telah memberikan peruntukan berjumlah RM200 sebulan untuk membantu meringankan beban mereka.
Abdul Wahab Abdul Rahman, 74, sifatkan pelanggan semakin kurang berminat naiki beca. |
“Di bawah portfolio pelancongan, para penarik beca juga dibantu dengan promosi pelancongan sebagai salah satu elemen keunikan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu menyampaikan sumbangan kepada sekitar 20 penarik beca di kawasan tersebut.
Ditanya tentang pelan untuk membangunkan industri beca negeri itu, Hanafiah menyatakan kebanyakan penarik beca yang ada kini dianggap sebagai generasi terakhir bagi kerjaya berkenaan.
“Agak sukar merencana pelan untuk industri ini kerana kebanyakan mereka sudah melepasi 60 tahun. Jadi, saya merasakan kerajaan perlu memberikan sumbangan tetap kepada mereka,” katanya sambil menyifatkan amat kurang pengendali beca di kalangan orang muda yang akan meneruskan industri itu.
Hal ini turut diakui oleh salah seorang pelanggan tetap beca di kawasan Pasar Payang.
Zubaidah Endut, 57, yang merupakan peniaga di situ berkata, selain kurangnya penarik beca di kalangan orang muda, kebanyakan pelanggan beca juga hanya terdiri daripada ‘orang-orang lama’.
Zubaidah yakin beca masih relevan. |
"Orang muda kurang berminat menaiki beca sedangkan ia amat berguna untuk bergerak di dalam kawasan bandar.
“Saya selalu juga naik beca untuk urusan dalam bandar kerana sukar untuk mendapatkan parkir kereta, jadi dengan menggunakannya urusan menjadi lebih mudah,” katanya.
Dia turut beranggapan pelancong yang berkunjung ke Kuala Terengganu lebih suka menaiki beca untuk bersiar-siar.
“Saya rasa beca sangat penting dan masih relevan digunakan. Saya dapat lihat setiap hari, pelancong yang datang ke sini lebih cenderung menaiki beca berbanding kenderaan awam lain kerana mereka dapat lihat suasana di sini dengan lebih dekat,” katanya.