KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), telah berjaya menganjurkan Kolokium bagi membantu Usahawan Melayu di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata penganjuran kolokium tersebut bertujuan menghimpunkan suara usahawan dari pelbagai sektor ekonomi sekali gus memperkasakan daya saing usahawan Melayu.
“Kelahiran para usahawan berskala kecil berpunca daripada cita-cita untuk memajukan diri melalui aktiviti yang memberikan pulangan lumayan berikutan perkembangan ekonomi setempat.
“Mereka dikenali sebagai individu gigih yang mempunyai wawasan, sasaran, kreativiti, dan optimisme terhadap kejayaan usaha mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kolokium Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Hotel Grand Puteri di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipetua DPPMT, Ahmad Izani Abdul Ghani dan Timbalannya, Dr Tengku Khairi A.Rahman.
Ariffin berkata kolokium tersebut bertujuan juga untuk membantu usahawan Melayu untuk terus bangkit dan mencapai kejayaan dalam perniagaan.
“Kelihatan jelas bahawa cabaran dalam dunia perniagaan semakin hebat dari sudut persaingan dan aspek lain.
“Terengganu kini giat membantu usahawan tempatan melalui inisiatif seperti Pasar Payang dan Payang Walk, serta pelbagai usaha lain.
“Pulau Warisan juga akan dibangunkan dengan projek-projek besar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai program, berbeza dengan acara tahun-tahun sebelumnya yang menggunakan seminar dan forum sebagai platform, kolokium kali ini menawarkan pendekatan yang lebih interaktif.
“Acara ini berjaya menarik pelbagai wakil penting dari agensi seperti Institut Penyelidikan dan Piawaian Industri Malaysia (SIRIM), Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MAIDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pelbagai lagi agensi yang hadir untuk memberikan sumbangan kepakaran masing-masing.
“Program yang dihadiri lebih 100 orang itu diberikan peluang khusus untuk mendalami dan memahami produk serta layanan yang ditawarkan oleh pelbagai pihak,” jelasnya.
Ariffin berharap agar kolokium berkenaan dapat memperkukuhkan jaringan dan daya saing usahawan Melayu, dengan matlamat untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Tambahnya, pihak penganjur juga menggariskan pentingnya memupuk dan menyokong usahawan kecil agar mereka dapat bersaing dengan lebih efektif dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.