KEMAMAN, 21 Mac – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghalang penghibur jalanan (buskers) mencari rezeki, namun pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah wajib bagi memastikan kelancaran serta keharmonian dalam aktiviti busking.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan segelintir buskers yang melanggar SOP menyebabkan komuniti mereka terpalit dengan pelbagai kritikan.
“Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Inilah yang berlaku hari ini, pihak persatuan kena main peranan untuk memastikan ahli mereka tidak melampaui batas yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita dan mereka bercakap soal cari makan, jadi jawatankuasa persatuan kena main peranan membantu kerajaan memastikan ahli-ahli mereka ikut SOP dan ada adab untuk ‘busking’.
“Mereka perlu pilih dan kelaskan yang mana ‘busker’ yang betul-betul cari makan dengan hiburan jalanan, yang mana separuh masa dan ‘busker’ mana yang bermain sekadar ‘enjoy’ supaya tiada yang terjejas.
“Persatuan perlu jelaskan kepada kerajaan negeri supaya sekiranya berlaku (isu) lagi, kita boleh kuatkuasakan pihak yang terlibat sahaja,” katanya ketika ditemui beberapa wakil Persatuan Buskers Terengganu diketuai setiausaha agungnya, Mohd Fazli A Rahman di hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri tiada niat untuk sekat sesiapa cari makan, tetapi apabila sudah jadi isu kepada kerajaan, maka tindakan perlu diambil.
“Jadi, saya harap buskers di Terengganu ini bersabar dan kita akan cari satu penyelesaian terbaik, namun buat masa ini terpaksa akurlah sementara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Fazli dan rakan-rakan mengambil maklum situasi yang berlaku dan berharap pertemuan dengan pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian yang terbaik bagi kedua-dua pihak.
“Pertamanya, dari segi tindakan yang dibuat terlampau drastik dan mengejut, menyebabkan kesusahan sedikit di pihak kami.
“Kita sebenarnya sudah maklum sangat apa kehendak kerajaan dan orang ramai, gaya persembahan, ‘volume’ bersesuaian dan sebagainya.
“Jadi, saya juga kurang pasti kenapa (ada busker) jadi begini, mungkin saya akan bertanya kembali kepada ahli-ahli dalam persatuan,” katanya yang menyambut baik saranan supaya memperkemaskan SOP dikalangan ahli-ahli mereka.
Sebagai info, seramai 179 ahli penghibur jalanan yang berdaftar dengan Persatuan Buskers Terengganu di seluruh negeri Terengganu.