MARANG, 4 Julai - Kerajaan negeri sedang menguatkuasakan langkah-langkah untuk memantau aktiviti manusia di kawasan terumbu karang bagi mengelakkan kelunturan kritikal terhadap khazanah berharga itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu adalah penting dalam usaha memastikan kelestarian terumbu karang yang semakin terancam akibat aktiviti manusia seperti pelancongan dan perikanan.
“Pemantauan yang berterusan akan membantu kita mengenal pasti impak negatif yang mungkin berlaku terhadap ekosistem terumbu karang kita.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan setiap aktiviti manusia di kawasan ini berada dalam sempadan yang selamat dan berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 bertempat di Jeti Marang di sini semalam.
Tambah Razali, sistem pemantauan akan meliputi penggunaan teknologi terkini seperti drone dan sistem penglihatan bawah air untuk mengawasi dan merekodkan keadaan terumbu karang secara sistematik.
“Selain itu, kami juga akan menggalakkan kesedaran awam melalui kempen-kempen pendedahan dan pendidikan, serta memperkenalkan peraturan-peraturan yang lebih ketat bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan terumbu karang.
“Rencana ini turut melibatkan kerjasama dengan komuniti tempatan dan penggiat industri pelancongan untuk memastikan setiap tindakan yang diambil tidak hanya berkesan tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.
“Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kami yakin bahawa kelestarian terumbu karang kita dapat dijaga dengan baik untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Untuk rekod, menurut Department of Fisheries (DOF), lebih 50 peratus terumbu karang terjejas telah dikesan, antaranya di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu.
“Kelunturan batu karang, disebabkan kenaikan suhu air laut, disebabkan oleh perubahan suhu (climate change).
“Kelunturan batu karang adalah suatu fenomena yang memerlukan kepada perhatian kerana apabila karang ini mati, terumbu jarang kembali,” jelasnya.