'Royalti Bukan Hak Terengganu?, PAN Jangan Jadi Pengkhianat'
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kerajaan Terengganu menerusi Tabung Bencana Negeri akan melakukan kerja baik pulih sepenuhnya melibatkan lebih 160 buah rumah yang terjejas ribut taufan di Kemaman bermula pagi esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan membantu penduduk terjejas dengan segera bermula dengan pembaikan rumah yang rata-rata mengalami kerosakan pada bumbung.
Menurutnya, jumlah kerugian sebenar belum diperolehi dan dijangka lebih banyak kediaman yang mengalami kerosakan termasuk sekolah.
"Sekolah Menengah Agama Al-Falah antara yang teruk terkena bencana kali ini.
"Di sini, kita akan menghantar lebih kurang 100 sukarelawan untuk membersihkan kawasan.
"Insya-Allah, semua kerja-kerja baik pulih akan bermula pagi esok," ujarnya ketika dihubungi.
Tambah Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), antara tempat yang terjejas ialah Dun Chukai, Gong Pauh, Pengkalan Pandan, Gong Limau, Kampung Tengah, Teluk Mok Nik dan Kampung Besut.
"Di Gong Pauh kita buka pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini untuk mangsa berlindung sementara kerana sebahagian besar rumah atap rosak teruk," katanya lagi.
Jelasnya, rumah-rumah terjejas akibat ribut tersebut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan.
"Kesemuanya telah kita uruskan dan mangsa diharap bersabar, insyaAllah, kami akan menyelesaikan semuanya dengan segera," ujarnya.