Bebaskan Institusi Pendidikan Awam Daripada 'Tangan Politik'
Prof. Dr. Ahmad Samsuri memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail |
Kerajaan negeri akan memfokuskan kepada usaha memperkukuh pentadbiran negeri dan melangkah ke hadapan untuk kepentingan rakyat tanpa dibayangi sejarah politik yang berlaku pada tahun 1999.
Menteri Besar, Prof.Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pentadbiran negeri tidak mahu membandingkan era pemerintahan pada tahun 1999 sehingga 2003 dengan masa kini berikutan suasana politik yang berbeza mengikut perubahan waktu.
“Saya tidak mahu banding senario politik dan pentadbiran pada tahun 1999 dengan sekarang kerana kita berada di era yang berbeza. Semuanya berbeza dari segi cabaran, media sosial, internet, kita berada dalam berlainan era.
“Kita mesti berubah untuk membaiki diri dan mesti melangkah ke hadapan bermula sekarang untuk kearah yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, jam 8.55 pagi ini.
Sebelum itu, dalam ucapan ringkas beliau, Dr Samsuri berkata, prinsip dan dasaranya ialah menjadikan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai asas membina pelan induk negeri ke arah yang cemerlang serta menjadi contoh negeri yang `maju, berkat dan sejahtera’.
Beliau berkata, dalam bahasa yang paling ringkas dan mudah, pentadbiran negeri mempunyai sasaran untuk menjadikan Negeri Terengganu yang dicintai ini sebagai Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, Hab Pendidikan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Produk dan Makanan Laut Serantau.
“Hab Industri Batik Dunia, Hab Industri Pembangunan dan Pembaikpulih Kapal Negara, Hab Pembangunan Sumber Manusia bagi Industri Minyak dan gas, Hab Industri Galian Negara, Hab Industri Pembekalan Air, Pembangunan Bersepadu dengan Jaringan LPT2, ECER, ECRL dan lain-lainnya serta pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi Rantaian Nilai Lengkap (Complete Value Chains),” ujarnya.