Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media yang banyak membantu membuat liputan khususnya berkenaan Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Yahaya Ali berkata mereka merupakan antara insan penting dalam membawa kebenaran agar timbul dipermukaan masyarakat.
"Masyarakat pada hari ini banyak bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan berita dan maklumat.
"Kita amat menghargai komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pengamal media terutama membuat liputan berkaitan kerajaan negeri untuk disiarkan di platform media masing-masing," katanya di Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.
Dalam pada itu, buat julung kalinya anugerah turut disampaikan kepada pempengaruh media sosial dari pelbagai platform media.
Menurut beliau, kini sesiapa sahaja boleh menjadi 'opinion leader' kepada masyarakat dan bukan lagi dipegang oleh institusi media besar dan rasmi.
'Saya yakin, para pempengaruh memahami bahawa mereka bukan hanya sekadar 'content creator', tapi mereka telah menjadi idola dan ikutan kepada ramai anak muda di luar sana, jadi halakan follower kita ke arah nilai positif dan mencegah perkara yang negatif," ujarnya lagi.
Majlis anjuran Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM68,000 membabitkan Anugerah Media Cetak kategori Berita Terbaik dan Foto Terbaik, manakala Anugerah Media Digital kategori Berita Terbaik, Foto Terbaik dan Video Terbaik.
Pada majlis itu juga, penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus menerima Anugerah Tokoh Media Berpengaruh manakala pelakon, Eman Manan menerima Anugerah Media Sosial Infuencer Selebriti.