'Kerja Gila' Orang Terengganu
LANCHANG, 23 Januari - 'Kerja gila', itu respon ringkas orang ramai selepas melihat kesungguhan 100 sukarelawan Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu (Prihatin Terengganu) membina semula dan menyiapkan rumah mangsa banjir di Kampung Mempateh di sini dalam tempoh tiga hari.
Presiden Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar berkata, beliau sendiri tidak menyangka kudrat dan semangat anak buahnya cukup tinggi meskipun tidak dibayar upah dan ada antara mereka yang mengambil cuti bekerja.
Katanya, semua kos pembinaan rumah termasuk pengangkutan ke Pahang ditanggung persatuan hasil sumbangan ahli Prihatin Terengganu, orang ramai, PAS dan agensi kerajaan Terengganu.
"Kami bertolak dari Terengganu ke Pahang pada Khamis malam, kemudian bermula pagi Jumaat, kami sudah memulakan operasi mengikut agihan tugas serta kepakaran masing-masing.
"Pada awalnya saya tidak yakin mampu siap dalam dua hari, namun pada hari pertama, semua petugas sangat bersemangat, mereka menyambung kerja sampai 12 malam," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak pembinaan.
Menurut Asmawi, rumah baharu siap dibina pada hari Sabtu dan operasi pendawaian elektrik turut dilakukan pada hari tersebut.
“Selepas siap semuanya, hari ini kami hanya memasang tikar getah di dalam rumah dan perabot baharu untuk kemudahan tiga beranak terbabit,” jelasnya.
Tambah Asmawi, hanya itu sumbangan yang mampu pihaknya berikan kepada keluarga Mohd Rafiuddin Mohd Saufi, 38.
“Dia dan isteri hanya bekerja menjual sayur di tepi jalan untuk menyara kehidupan bersama seorang anak.
“Memang mereka sangat layak menerima bantuan ini, sudah tentu mereka tidak mampu membina semula rumah hanya dengan hasil menjual sayur,” ujar beliau.