Keropok Kampung Gaung Warisan Dari Kampung Losong


Bermula dengan hanya lima pekerja kini peniaga keropok lekor di Kampung Gaung, Kuala Berang, Wan Mohd Badrulhisyam Mohammad,30, kini tersenyum puas apabila perusahaannya itu kian maju dengan bantuan 12 pekerja di kalangan penduduk setempat.

Pemuda berasal dari Kampung Serada itu  berkata, perusahaan makanan itu diwarisi  sejak turun temurun dari keluarganya di Kampung Losong dan mula mengambil alih perniagaan itu sejak 2011.

Wan Mohd Badrulhisyam
Jelasnya lagi, idea untuk membuka kedai keropok lekor  timbul apabila melihat banyak kedai berasaskan makanan itu di Kampung Losong dengan hasil keluaran yang sama dan mahu mencuba nasib membukanya di tempat lain.

"Setelah melihat suasana yang terlalu sinonim diLosong, saya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan membuka sebuah kedai kecil di Kampung Gaung dengan dibantu lima pekerja tempatan disitu.

"Nampaknya rezeki memihak kepada saya apabila ianya mendapat sambutan hangat dan pada April 2016, saya membuka kedai yang lebih besar (sekarang) dengan ruang parkir yang lebih selesa,"katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Setiap hari kedainya akan menghasilkan keropok dengan menggunakan 500 kilogram (kg) ikan berbanding di kedai lama, hanya 200 kg dan meningkat kepada 800 kg pada musim cuti atau perayaan.

Menurut Wan Mohd Badrulhisham, jika dibandingkan dengan dahulu, perniagaannya makin mendapat sambutan ramai termasuklah daripada pelanggan luar Terengganu seperti Johor dan Kuala Lumpur.

"Hampir setiap malam, kami akan mengirimkan tempahan keropok melalui bas persiaran ke negeri-negeri di Semenanjung kecuali Sabah dan Sarawak.

"Ini termasuklah pelanggan tempatan dan pelancong-pelancong yang datang membeli dan ada yang kembali ke kedai kami kerana puas hati dengan rasa keropok yang terkenal dengan keenakan campuran ikannya yang asli,"katanya lagi.

Dia tidak menafikan antara faktor yang melonjakkan perniagaannya disebabkan pembukaan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai.


"Memang saya tak nafikan, sejak Tasik Kenyir dibuka sebagai Pulau Bebas Cukai, boleh dikatakan saya mendapat tempiasnya. Hampir setiap hari ada sahaja bas pelancong akan berhenti untuk membeli keropok dan hasil produk yang lain untuk dibawa pulang.

"Kini saya dalam proses dapatkan sijil halal untuk pasarkan keropok lekor menembusi pasaran di pasaraya-pasaraya utama di negeri ini,"katanya lagi.

Tag: